Friday, September 7, 2012

Bekalan Untuk Muslimah #5


-Khutbah Jumaat "Tarbiyyah Allah Kepada Rasul-Nya: Pengajaran Bagi Manusia"
-Masjid Jamiul Ehsani, Kg. Sijangkang
-7/9/2012 bersamaan 20 Syawal 1433

Bismillahirahmanirrahim.


Setelah sekian lama sunyi menyepi, hari ini dapat juga peluang nak kembali menulis. Sibuk memanjang. Semalam dah menjejak kaki di KLIA, hantar kawan-kawan yang akan sambung ijazah perubatan di Jakarta, Indonesia. InsyaAllah, mereka akan menetap 5 tahun di Universitas Kristen Krida Wacana.

"Semoga berjaya anda semua di sana. Jaga diri baik-baik di negara orang. Pekakkan telinga je bila ada yang kata macam-macam. Kita datang nak belajar, bukan nak jadi 'hero' mengajar orang. Solat pun jangan lupa. Dah duduk di Kristen bagai ni, jangan buat macam-macam. Ambil peluang untuk mengkaji agama mereka tapi jangan sampai terlepas sempadan."

Okay, selamat maju jaya, Aman, Wan, Mad, Scoot, Ariff, Shayuti, Izzat, Poe, Sulaiman, Alif, Mut, Raja dan lain-lain yang aku tak berapa nak ingat sekarang ini. InsyaAllah, anda semua akan jadi manusia yang hebat dunia dan akhirat.




Esok pukul 10 malam, segerombolan lagi pelajar Intec yang akan ke India akan berlepas. Meriah betul korang dekat sana nanti. 115 orang katanya. Entah-entah satu kapal terbang nanti penuh dengan lembaga blazer hitam je. hehe. Seronok laaaaah duduk dekat sana. hehe.

"Minta maaf, aku tak dapat hantar anda semua ke KLIA esok malam. Aku nak hantar abang aku ke UMP, di Gambang. Selamat jalan anda semua dan semoga selamat perjalanan pergi ke sana nanti. Dah sampai sana nanti, belajar lah sebanyak yang mungkin, bukan ilmu perubatan je."

Selamat jalan Aiman, Fizi, Aizul, Aufa, dan lain-lain. Ramai sangat kalau nak disebut satu persatu. Lagi dua tahun setengah InsyaAllah kita jumpa lagi di Malaysia. 





Okay, jauh sangat ni menyimpang. Eh, bila difikir balik tak menyimpang sangat pun. Inilah salah satu contoh aplikasi kepentingan ilmu. Mencari ilmu walau terpaksa bermastautin di negara lain. Khutbah Jumaat pada hari ini, di Selangor, pasal nabi Muhammad s.a.w. Kalau di Kuala Lumpur pasal dosa-dosa besar, hormati pemimpin dan sebagainya.

“Sesungguhnya Allah SWT telah menciptakan makhluk-Nya, maka menjadikan aku yang terbaik dari mereka dalam golongan yang terpilih, kemudian menjadikan mereka dua golongan, dan menjadikan aku yang terbaik dari mereka dalam golongan itu. Kemudian menjadikan mereka bersuku-suku, dan menjadikan aku yang terbaik dalam suku itu. Kemudian menjadikan mereka dalam keluarga-keluarga, dan Allah menjadikan keluargaku yang terbaik di dalam semua keluarga mereka, dan yang terbaik dalam keturunan”.   
(Riwayat At-Tirmidzi)

Nabi Muhammad adalah sebaik-sebaik ikutan yang boleh kita jadikan rujukan dan panduan. Macam yang tertera dalam hadis di atas. Okay, khutbah kali ini sebenarnya nak menceritakan macam mana tarbiyyah yang diberikan Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w boleh dijadikan pengajaran kepada kita semua.


1. Tarbiyyah Ilmu, Penghapus Jahiliyyah


Dalam wahyu yang pertama, Surah al-'Alaq ayat 1,

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk)”

kepentingan ilmu dalam kehidupan telah ditekankan. Ini adalah perkara pertama yang Allah nak sampaikan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Maksudnya, ilmu itu tersangatlah penting dalam kehidupan kita. 


Kalau kita nak mengejar kejayaan di dunia, ilmu adalah kuncinya,
Kalau kita nak mengecapi kebahagiaan akhirat, ilmu adalah rahsianya,
Kalau kita nak bolot kedua-duanya, ilmu lah yang sewajarnya dijadikan senjata.


Dengan ilmulah Nabi Muhammad memahami tauhid, aqidah dan syariat Allah. Ilmu jugalah yang menjadi wadah dalam pembentukan sahabat-sahabat. Dan ilmu inilah yang menyusur zaman, merentas masa dan benua sebelum sampai kepada kita. 


Kalau tak ada ilmu, kita ini dah macam tin kosong, bunyi je lebih tapi isi tak ada. Budaya ilmu ini jugaklah yang patut dipegang erat oleh semua umat Islam. Kita kena buktikan yang umat Islam adalah umat yang unggul. Umat yang berilmu, bukan umat perosak, pengganas, bukan umat yang selalu berselubung dengan kemiskinan, kejahilan, bukan umat yang selalu berada di barisan belakang.


Jadi, jom kita perbanyakkan bacaan kita. Borong buku di kedai berdekatan banyak-banyak, okay. :)





2. Imu dan Pokok yang Layu


Ada pepatah Arab yang pernah aku dengar waktu zaman-zaman sekolah dulu yang berbunyi,

"Ilmu tanpa amal adalah seperti pohon yang tidak berbuah"

Pokok itu tidak memberi manfaat kepada kita yang menanam. Duk penat-penat siram, baja, jaga daripada anak benih, bila dah besar tak ada pulangan kepada kita. Sama juga macam ilmu, bertahun-tahun kita belajar, dari tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, matrikulasi, asasi, diploma, ijazah dan sebagainya. Tapi macam tak ada hasilnya baik dalam keperibadian diri ataupun ibadah, aqidah dan sebagainya. Rugi kan. Penat je gosok baju sekolah tiap-tiap hari, berbasikal ke sekolah, ikat perut di asrama, dapat banyak A dalam slip peperiksaan, tapi lepas seminggu dua, otak kembali kosong. (Adeh, ini tamparan hebat buat diri sendiri) 


Sebab itulah Allah mentarbiyyah Nabi Muhammad s.a.w untuk menzahirkan ilmu yang diajarkan dalam bentuk amalan dan ibadah. Ibadah yang dilakukan menjadi pengukuh dan penguat kepada asas aqidah yang ada dalam diri kita. Barulah nanti kita akan rasa dekat dengan Allah. Sujudnya kita pada Allah bukan atas dasar terpaksa, sujudnya kita pada Dia tidak menjadi beban tapi tulus dan ikhlas dengan rasa kehambaan, kesyukuran dan kecintaan kepada-Nya. 


Jom kita berusaha bersama-sama menuju ke arah itu. 





3. “Sampaikanlah dariku walau hanya satu ayat” (HR. Bukhari)


Seterusnya, Nabi Muhammad s.a.w pula dipertanggungjawabkan dengan dakwah dan tarbiyyah. Dengan ilmu dan ketauhidan yang ada, Allah memerintahkan Rasul-Nya untuk membimbing umat manusia daripada kejahilan kepada kebenaran. 


Jadinya, sekarang ini, dalam zaman-zaman umat akhir zaman ini, rasanya keperluan kita untuk menyebarkan dakwah dan tarbiyyah lagi lah diperlukan, ye dak? (Aku pun tak betul-betul berkecimpung lagi. Haish) Kalau kita ada ilmu kita sampaikan walaupun benda-benda kecil dan simple. Boleh jadi apa yang kita tahu, orang lain tak tahu, dan boleh jadi apa yang kita tak tahu kawan kita pula tak tahu. Kiranya kalau semua-semua berfikir dengan mentaliti ini, benda yang sedikit pun boleh tinggi menggunung, ilmu yang cetek pun boleh jadi bermeter-meter dalamnya. Satu mentaliti yang aku kadang-kadang rasa, adalah kita rasa rendah diri dan ilmu tak berapa nak cukup. Tapi cuba kita teliti pesanan dekat bawah ini.

“Sesungguhnya apabila aku menasihati kamu, bukanlah bererti akulah yang terbaik dalam kalangan kamu, bukan juga yang paling soleh dalam kalangan kamu, kerana aku juga pernah melampaui batas untuk diri sendiri. Seandainya seseorang itu hanya dapat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna, nescaya tidak akan ada pendakwah. Maka sedikitlah orang yang memberi peringatan”
(Imam Hasan Al-Basri)

Kiranya, bila aku sampaikan sesuatu baik di blog, laman sosial, muka ke muka, cakap-cakap lisan tak semestinya aku sempurna. Tak tak. Sebenarnya aku cakap untuk peringatan aku sendiri. Kadang-kadang ada benda yang aku tak buat atau yang masih belum dibuat, cuma aku nak sampaikan pada orang-orang lain atas dasar saling ingat-mengingatkan. Takkan kita nak masuk dalam golongan yang rugi, kan? Yang baik itu mungkin boleh diambil dijadikan iktibar dan peringatan, yang buruk tu, jangan disimpan dalam hati, tapi tegur aku kut-kut aku terlepas pandang. Tak nak jadi golongan yang rugi kan? hehe.


Tarbiyyah Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w juga secara tak langsungnya menjadi tarbiyyah kepada umat seluruh dunia. Jadi, jom kita praktikkan mana-mana yang kita termampu. Sikit-sikit lama jadi rutin harian. Istiqamah.




ขอบคุณ !

Sekian, salam saiyidul ayyam.


p/s: Kepada Hafizi Razak, semoga kenduri malam ini berjalan dengan lancarnya. InsyaAllah doa yang dipanjatkan akan terkabul. Ameen. Sorry, tak dapat nak buat kunjung balas dan tak dapat hantar ke airport. Selamat jalan. Selamat Maju Jaya.


4 comments: