Saturday, September 29, 2012

Salam Perantauan #1

Bismillahirrahmanirrahim...


Baru berapa hari di bumi Ireland dah nak salam perantauan bagai. hehe. Itu saja bagi gempak. Tajuk untuk menarik viewers. Taktik yang berkesan setakat ini. haha. Bila difikirkan balik, dah lama juga tak bubuh sesuatu dalam blog sendiri, daripada sebelum fly lagi. Busy? Salah satunya. Asyik-asyik timbang berat beg je, nak bagi cukup 20kg itu pun terlebih dan kena bayar juga di airport. Melayang duit. haha. Okay, lets go straight to the point.


Entry kali ini is to express my deepest gratitude to family, friends and friends-to-be.=)


Muka dah tak terurus sebab dah 5 jam di KLIA.

Usrati Jannati (Keluargaku Syurgaku)

Orang asyik-asyik kata Baiti Jannati (Rumahku Syurgaku) je, tapi apa guna "Bait" kalau tak ada ahlinya. Biar rumah tak nampak mewah, tapi kita bahagia di dalamnya. Tapi kalau dapat mewah kedua-duanya apa salahnya. =)

Seminggu sebelum ke Dublin adalah masa kemuncak kesibukan. Macam-macam benda perlu dibuat. Selak balik senarai barang, yang mana masih tak cukup, yang mana masih kurang, yang mana dah bertimbun. Dah siap bubuh, timbang pula, kalau terlebih keluar balik, lepas tu timbang lagi. hehe. Timbang banyak kali pun masih terlebih dan kena bayar bagasi terlebih, walaupun orang lain lepas je, takpe lah. Sekali sekala kata orang.   



Belanja duit beli barang dan sebagainya memang tak terkira banyaknya. Sejak daripada kenduri entah dah berapa ribu terbelanja macam tu je. Konon nak menyumbang pakai duit simpanan sendiri, tapi alahai sikit sangat. Setakat dua ribu tu apa lah sangat. Ayah dengan mak juga yang keluar duit. 


Rasa bersyukur sangat dikurniakan mak dan ayah yang meletakkan anak-anak dahulu dalam semua perkara. Bila sebut pasal pendidikan, lengkap serba serbi, rasanya tak pernah rasa keciciran sebab tak cukup barang, duit dan masa yang diberi. Kalau terjadi pun sebab diri sendiri yang lambat pick up. Pemalas sangat agaknya. Sebelum nak berangkat ni lah, ke hulu hilir program sana sini, shopping tak habis-habis dengan ayah dengan mak. Peluang yang berbaki itulah macam-macam benda nak buat. Terima kasih mak. Terima kasih ayah.


Syukur juga sebenarnya bila dilahirkan dalam keluarga yang besar. Riuhnya KLIA bila semua datang nak buat lambaian terakhir. Dari Johor Bahru pun sanggup turun ke Selangor semata-mata nak hantar ke KLIA, yang bekerja pada hari Jumaat tu pun berhempas pulas sempatkan diri ke lapangan terbang, tak kurang juga yang tawar diri untuk masak makanan versi "Rumah" buat kali terakhir. SMS dan call berduyun-duyun. Terharu sangat-sangat. Yang nak naik ke kapal terbang  tu seorang je, tapi yang hantar sekampung. Duit-duit yang diberi sebagai buah tangan atau hadiah pun banyak, ada je yang salam berhulur duit. Yang berhulur kotak hadiah pun ada. hehe. Terima kasih daun keladi, kalau jumpa hulur lagi. hehe. *Bergurau*. 




                           

Sampai masa nak berlepas tu jugalah sesi mohon restu dan lambaian terakhir. Disebabkan event penyampaian hadiah punya pasal, masa dengan keluarga tinggal sepuluh minit je. Mana cukup ! Satu kampung ni datang, nak salam peluk sorang-sorang pun sempat tak sempat je. Waktu itu sebak yang teramat. Lidah terkelu, terkesima hilang kata-kata. Air mata dah bergenang-genang tinggal nak tumpah je. Nasib baik dapat kawal. Nampak lah cool nya sikit. hehe. Pesanan demi pesanan disampaikan. Harapan dan harapan dan harapan dan harapan menggunung tinggi di bahu tak berapa bidang ini diletakkan.

"InsyaAllah, aku akan cuba yang terbaik. Ingat aku datang dengan pengharapan yang tinggi, aku mesti pulang dengan kejayaan. Sanggupkah nak patahkan impian dan harapan mak ayah nenek dan keluarga? Takkan nak keronyok campak buang pesanan yang mereka bagitahu ratusan kali itu?" 

(Sesi Monolog dalaman sekejap)

Selingan daripada bahagian keluarga,
Terima kasih juga kepada kawan-kawan yang datang. Terubat juga rindu dek sebab berbulan dah tak berjumpa. Sanggup drive daripada tempat masing-masing. Besta, Kentang, Pian, Paan dan kawan-kawannya. Juga kepada yang ucap dan doa kan aku di Facebook, Skype, Phone, Whatsapp dan sebagainya. Terima kasih sangat-sangat. Semoga berjumpa lagi kawan-kawan. Jangan lupa aku sudah lah. haha.


InsyaAllah, mereka (keluarga dan kawan-kawan) inilah yang akan jadi pembakar aku bila semangat aku mula sejuk membeku, mereka inilah yang akan aku jadikan dahan untuk aku berpaut kalau aku agak-agak dah hanyut, mereka jugalah yang akan aku hadiahkan kejayaan kalau aku dah bergelar doktor nanti. InsyaAllah.






Terima kasih ayah, mak, nenek, mak long dan keluarga, mak su dan pak su dan keluarga, mak wan dan mak wan dan pak wan dan keluarga, tok su dan nek su, acik zamri dan keluarga, tok su dan nek su (set kedua). Senang cerita, semua-semua lah. hehe. =)


Sekian, untuk kali ini. Ada masa sambung lagi sikit. Semoga berjumpa lagi. Salam perantauan. =)



p/s: Mengantuk pulak. Masa dublin sekarang ini tepat 12 tengah malam. Nak tidur esok ada perjumpaan dengan JPA di RCSI.

p/s/s: Minta maaf juga kepada yang terlibat. Gambar yang ada tu terconteng sikit. hehe. InsyaAllah untuk keselesaan bersama baik di dunia dan akhirat. Mungkin time ni sibuk-sibuk nak hantar budak fly terbuka sikit. Menyusahkan betul lah aku ni. hehe.

p/s/s/s: Selingan gambar Muhammad Taqif a.k.a Takipan. haha. Kalau rasa seksi mengancam rawr, sila tutup mata. haha.


Wednesday, September 12, 2012

Video of the Week #4


Bismillahirrahmanirrahim...


Hari ini aku nak kongsikan video yang aku rasa sangat menyentuh ke dalam hati, menusuk ke dalam kalbu, membentak kesuma, menyelubungi segenap nurani. haha. Madah berhelah sangat ni. 


Pertama kali tengok video ini sewaktu aku join daurah di Paya Indah Wetlands. Makan dalam pun iya. Somehow, memang betul-betul terasa. Second time, tengok sewaktu di daurah juga, di Intekma Resort, Shah Alam. Lagi sekali, hati ini sangat-sangat tersentuh. Terasa tanggungjawab sebenarnya. Allahu Rabbi, banyak lagi yang tak terkejar. 


Apa kata korang pulak tengok video ini, untuk aku, memang sangat refreshing. Lets Refresh our imaan !




Salam D & T


Monday, September 10, 2012

Sujud Pembebasan

Bismillahirrahmanirrahim...




Sujud itu menundukkan dahi, tetapi,

Memuliakan dan meninggikan muslim yang bertasbih kepadaNya,

Si jahil menyangkanya belenggu ke atas hamba,

Tetapi sujudlah yang memusnahkan segala belenggu-belenggu itu,

Padanya, semua makhluk akan tunduk kepada muslim yang sujud,

Seluruh alam takut kepada kata-kata dan perbuatannya,

Wajah dan seluruh anggotanya melekat di bumi,

Tetapi ia menggoncangkan gunung-ganang,

Meruntuhkan syirik dan was-was di dalam diri,

Tetapi ia juga membangunkan generasi-generasi,

Dalam diam, kerana hati ada perjalanan yang menundukkan bumi,

Lantaran kehebatan dan kebesaranNya,

Sujudnya hanya kepada Allah, ia mengesakanNya, lalu mantap dan kuat,

Menghapuskan setiap penzalim yang sombong,

Barangsiapa menghayati sujud ini,

Dia menikmati kepimpinan dan ketuanan di muka bumi,

Dengan keagunganNya, rahmat dan keindahanNya.


Sujud Pembebasan,
Abdul Wahab Azam
Majalah al-Muslimun, thn. 1, m/s 961
June 15, 2012.




Pertama kali baca dan dengar, adalah waktu kami berusrah. Mula-mula nampak macam puisi biasa-biasa saja, bait-bait kata pun ala kadar. Angkuh je first impression aku. Tapi bila dibaca berulang-ulang, ambil masa untuk hayati maksudnya, baik yang tersurat mahupun tersirat. SubhanaAllah, mendalam maksudnya. 




Sujud yang selama ini kita lakukan sujud yang macam mana? Sujud yang dibuat atas dasar paksa? Atau macam Si Jahil? Yang menganggap ini sujud yang membebankan. Atau kita sujud gitu-gitu saja? Asalkan cukup lima waktu bersujud, asalkan sujud walaupun hati entah ke mana, fikiran melayang pikir dunia. Atau sujud yang ditekan ditenyeh biar boleh ditayang "hitamnya" dahi alim kita? Atau sujud yang penuh kesyukuran, rasa kehambaan. 




Sujud yang membebaskan kita daripada cengkaman nafsu dunia, genggaman hasad dengki, titah perintah hati yang didalang Syaitan, dan belenggu kejahilan manusia. Sujud yang membebaskan kita daripada segalanya, membulatkan matlamat asal penciptaan kita, mencerahkan penghujung jalan hidup kita dan membuatkan kita berjalan di muka bumi ini dengan nama seorang Hamba Allah s.w.t.


Wallahu'Alam. 




Friday, September 7, 2012

Bekalan Untuk Muslimah #5


-Khutbah Jumaat "Tarbiyyah Allah Kepada Rasul-Nya: Pengajaran Bagi Manusia"
-Masjid Jamiul Ehsani, Kg. Sijangkang
-7/9/2012 bersamaan 20 Syawal 1433

Bismillahirahmanirrahim.


Setelah sekian lama sunyi menyepi, hari ini dapat juga peluang nak kembali menulis. Sibuk memanjang. Semalam dah menjejak kaki di KLIA, hantar kawan-kawan yang akan sambung ijazah perubatan di Jakarta, Indonesia. InsyaAllah, mereka akan menetap 5 tahun di Universitas Kristen Krida Wacana.

"Semoga berjaya anda semua di sana. Jaga diri baik-baik di negara orang. Pekakkan telinga je bila ada yang kata macam-macam. Kita datang nak belajar, bukan nak jadi 'hero' mengajar orang. Solat pun jangan lupa. Dah duduk di Kristen bagai ni, jangan buat macam-macam. Ambil peluang untuk mengkaji agama mereka tapi jangan sampai terlepas sempadan."

Okay, selamat maju jaya, Aman, Wan, Mad, Scoot, Ariff, Shayuti, Izzat, Poe, Sulaiman, Alif, Mut, Raja dan lain-lain yang aku tak berapa nak ingat sekarang ini. InsyaAllah, anda semua akan jadi manusia yang hebat dunia dan akhirat.




Esok pukul 10 malam, segerombolan lagi pelajar Intec yang akan ke India akan berlepas. Meriah betul korang dekat sana nanti. 115 orang katanya. Entah-entah satu kapal terbang nanti penuh dengan lembaga blazer hitam je. hehe. Seronok laaaaah duduk dekat sana. hehe.

"Minta maaf, aku tak dapat hantar anda semua ke KLIA esok malam. Aku nak hantar abang aku ke UMP, di Gambang. Selamat jalan anda semua dan semoga selamat perjalanan pergi ke sana nanti. Dah sampai sana nanti, belajar lah sebanyak yang mungkin, bukan ilmu perubatan je."

Selamat jalan Aiman, Fizi, Aizul, Aufa, dan lain-lain. Ramai sangat kalau nak disebut satu persatu. Lagi dua tahun setengah InsyaAllah kita jumpa lagi di Malaysia. 





Okay, jauh sangat ni menyimpang. Eh, bila difikir balik tak menyimpang sangat pun. Inilah salah satu contoh aplikasi kepentingan ilmu. Mencari ilmu walau terpaksa bermastautin di negara lain. Khutbah Jumaat pada hari ini, di Selangor, pasal nabi Muhammad s.a.w. Kalau di Kuala Lumpur pasal dosa-dosa besar, hormati pemimpin dan sebagainya.

“Sesungguhnya Allah SWT telah menciptakan makhluk-Nya, maka menjadikan aku yang terbaik dari mereka dalam golongan yang terpilih, kemudian menjadikan mereka dua golongan, dan menjadikan aku yang terbaik dari mereka dalam golongan itu. Kemudian menjadikan mereka bersuku-suku, dan menjadikan aku yang terbaik dalam suku itu. Kemudian menjadikan mereka dalam keluarga-keluarga, dan Allah menjadikan keluargaku yang terbaik di dalam semua keluarga mereka, dan yang terbaik dalam keturunan”.   
(Riwayat At-Tirmidzi)

Nabi Muhammad adalah sebaik-sebaik ikutan yang boleh kita jadikan rujukan dan panduan. Macam yang tertera dalam hadis di atas. Okay, khutbah kali ini sebenarnya nak menceritakan macam mana tarbiyyah yang diberikan Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w boleh dijadikan pengajaran kepada kita semua.


1. Tarbiyyah Ilmu, Penghapus Jahiliyyah


Dalam wahyu yang pertama, Surah al-'Alaq ayat 1,

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk)”

kepentingan ilmu dalam kehidupan telah ditekankan. Ini adalah perkara pertama yang Allah nak sampaikan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Maksudnya, ilmu itu tersangatlah penting dalam kehidupan kita. 


Kalau kita nak mengejar kejayaan di dunia, ilmu adalah kuncinya,
Kalau kita nak mengecapi kebahagiaan akhirat, ilmu adalah rahsianya,
Kalau kita nak bolot kedua-duanya, ilmu lah yang sewajarnya dijadikan senjata.


Dengan ilmulah Nabi Muhammad memahami tauhid, aqidah dan syariat Allah. Ilmu jugalah yang menjadi wadah dalam pembentukan sahabat-sahabat. Dan ilmu inilah yang menyusur zaman, merentas masa dan benua sebelum sampai kepada kita. 


Kalau tak ada ilmu, kita ini dah macam tin kosong, bunyi je lebih tapi isi tak ada. Budaya ilmu ini jugaklah yang patut dipegang erat oleh semua umat Islam. Kita kena buktikan yang umat Islam adalah umat yang unggul. Umat yang berilmu, bukan umat perosak, pengganas, bukan umat yang selalu berselubung dengan kemiskinan, kejahilan, bukan umat yang selalu berada di barisan belakang.


Jadi, jom kita perbanyakkan bacaan kita. Borong buku di kedai berdekatan banyak-banyak, okay. :)





2. Imu dan Pokok yang Layu


Ada pepatah Arab yang pernah aku dengar waktu zaman-zaman sekolah dulu yang berbunyi,

"Ilmu tanpa amal adalah seperti pohon yang tidak berbuah"

Pokok itu tidak memberi manfaat kepada kita yang menanam. Duk penat-penat siram, baja, jaga daripada anak benih, bila dah besar tak ada pulangan kepada kita. Sama juga macam ilmu, bertahun-tahun kita belajar, dari tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, matrikulasi, asasi, diploma, ijazah dan sebagainya. Tapi macam tak ada hasilnya baik dalam keperibadian diri ataupun ibadah, aqidah dan sebagainya. Rugi kan. Penat je gosok baju sekolah tiap-tiap hari, berbasikal ke sekolah, ikat perut di asrama, dapat banyak A dalam slip peperiksaan, tapi lepas seminggu dua, otak kembali kosong. (Adeh, ini tamparan hebat buat diri sendiri) 


Sebab itulah Allah mentarbiyyah Nabi Muhammad s.a.w untuk menzahirkan ilmu yang diajarkan dalam bentuk amalan dan ibadah. Ibadah yang dilakukan menjadi pengukuh dan penguat kepada asas aqidah yang ada dalam diri kita. Barulah nanti kita akan rasa dekat dengan Allah. Sujudnya kita pada Allah bukan atas dasar terpaksa, sujudnya kita pada Dia tidak menjadi beban tapi tulus dan ikhlas dengan rasa kehambaan, kesyukuran dan kecintaan kepada-Nya. 


Jom kita berusaha bersama-sama menuju ke arah itu. 





3. “Sampaikanlah dariku walau hanya satu ayat” (HR. Bukhari)


Seterusnya, Nabi Muhammad s.a.w pula dipertanggungjawabkan dengan dakwah dan tarbiyyah. Dengan ilmu dan ketauhidan yang ada, Allah memerintahkan Rasul-Nya untuk membimbing umat manusia daripada kejahilan kepada kebenaran. 


Jadinya, sekarang ini, dalam zaman-zaman umat akhir zaman ini, rasanya keperluan kita untuk menyebarkan dakwah dan tarbiyyah lagi lah diperlukan, ye dak? (Aku pun tak betul-betul berkecimpung lagi. Haish) Kalau kita ada ilmu kita sampaikan walaupun benda-benda kecil dan simple. Boleh jadi apa yang kita tahu, orang lain tak tahu, dan boleh jadi apa yang kita tak tahu kawan kita pula tak tahu. Kiranya kalau semua-semua berfikir dengan mentaliti ini, benda yang sedikit pun boleh tinggi menggunung, ilmu yang cetek pun boleh jadi bermeter-meter dalamnya. Satu mentaliti yang aku kadang-kadang rasa, adalah kita rasa rendah diri dan ilmu tak berapa nak cukup. Tapi cuba kita teliti pesanan dekat bawah ini.

“Sesungguhnya apabila aku menasihati kamu, bukanlah bererti akulah yang terbaik dalam kalangan kamu, bukan juga yang paling soleh dalam kalangan kamu, kerana aku juga pernah melampaui batas untuk diri sendiri. Seandainya seseorang itu hanya dapat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna, nescaya tidak akan ada pendakwah. Maka sedikitlah orang yang memberi peringatan”
(Imam Hasan Al-Basri)

Kiranya, bila aku sampaikan sesuatu baik di blog, laman sosial, muka ke muka, cakap-cakap lisan tak semestinya aku sempurna. Tak tak. Sebenarnya aku cakap untuk peringatan aku sendiri. Kadang-kadang ada benda yang aku tak buat atau yang masih belum dibuat, cuma aku nak sampaikan pada orang-orang lain atas dasar saling ingat-mengingatkan. Takkan kita nak masuk dalam golongan yang rugi, kan? Yang baik itu mungkin boleh diambil dijadikan iktibar dan peringatan, yang buruk tu, jangan disimpan dalam hati, tapi tegur aku kut-kut aku terlepas pandang. Tak nak jadi golongan yang rugi kan? hehe.


Tarbiyyah Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w juga secara tak langsungnya menjadi tarbiyyah kepada umat seluruh dunia. Jadi, jom kita praktikkan mana-mana yang kita termampu. Sikit-sikit lama jadi rutin harian. Istiqamah.




ขอบคุณ !

Sekian, salam saiyidul ayyam.


p/s: Kepada Hafizi Razak, semoga kenduri malam ini berjalan dengan lancarnya. InsyaAllah doa yang dipanjatkan akan terkabul. Ameen. Sorry, tak dapat nak buat kunjung balas dan tak dapat hantar ke airport. Selamat jalan. Selamat Maju Jaya.